Followers

Thursday, May 13, 2010

Bekalan Titik Mula

Allah mencipta manusia sebagai makhluk percaya.
Dia akan bertindak mengikut apa yang dia percaya.


"Sabarlah emak, Ina nak ke Shah Alam bekerja kilang ini sebab emak. Nak tolong emak. Dah lama emak susah," Ina teresak - esak menahan rasa. Memeluk emak yang kesedihan mahu melepaskan anak. Suasana di perhentian bas di tepi jalan Sekinchan itu sungguh hiba dan pilu. Drama ibu dan anak.


Setibanya Ina di rumah sewanya di Shah Alam, hampir 30 kali sehari  dia menghantar SMS kepada ibunya di kampung.
"Mak, Ina dah makan. Mak dah makan?"
"Mak, tadi Ina beli sikat baru!"
"Mak, Ina nak tidur ni."
 Demikianlah pada minggu pertama. Bulan kedua begitu juga. Bulan ketiga, Ina bertemu dengan Udin. Daripada 30 SMS sehari, Ina menghantar 30 hari sekali satu SMS!


"Maaf mak, Ina sibuk kerja banyak syif," kata Ina.
Sibuk dengan Udin, si buayafriend yang cinta dua bulan mereka berjaya memadamkan cinta 20 tahun emak Ina di kampung.



KISAH SUAMI
"I kerja untuk u sayang!" kata suami sambil membawa pulang hadiah cincin belah rotan buat isterinya.
Masa itu gajinya RM800 sebulan.
"I kerja untuk u sayang!" ulang suami sambil membawa pulang cincin solitaire untuk isteri yang dikasihi.
Gaji sudah meningkat RM4,000 sebulan.
"I rasa nak buka cawangan barulah sayang!" kata suami membawa pulang 'payung emas' berupa surat izin untuk ditandatangani sang isteri.
Gaji ketika itu sudah RM10,000 sebulan.
 Bukanlah poligami itu isunya, tetapi mengapa semasa bergaji RM800 sebulan, kerjanya untuk isteri, tetapi apabila gaji mencecah RM10,000 sebulan, sudah bercadang mahu  membuka cawangan?

 BUKAN FIKSYEN


Kisah di atas bukan dari kisah benar tapi banyak yang berlaku dalam masyarakat kita. Tujuan awalnya lain, kemudian hala yang dituju lain pula.
Sesuai benar dengan pepatah melayu yang menyebut, "lagi tinggi pokok dipanjat, lagi kuat angin menggoncang."
Semua itu adalah terjemahan  kepada kesan niat dalam perbuatan. Bekerja kerana emak itu adalah bekerja atas satu tujuan yang berada di luar kita. Semakin jauh dan lama tujuan luar itu ditinggalkan, 
 Bekerja kerana isteri itu adalah bekerja atas satu tujuan yang berada di luar kita.
Semakin jauh dan lama tujuan luar itu ditinggalkan, bersaing pula dengan anasir luar yang semakin banyak di kejauhan perjalanan hidup, semakin pudar kesannya pada niat kita bekerja.
' Bekerja kerana emak dan bekerja kerana isteri itu susah. Lebih susah kalau bekerja kerana slogan - slogan retorik, demi agama, bangsa dan negara!'



KUASA NIAT


Inilah besarnya maksud pesanan Rasulullah s.a.w tentang niat :
"Sesungguhnya amalan - amalan itu bergantung kepada niat." (Al-Bukhari , Muslim)
 Niat bukan hanya soal menentukan dosa dan pahala di akhirat. Niat itu titik mula sebuah amal. Silap sedikit di titik mula, silap besar dan bertambah besar dengan pertambahan jarak dan masa.


Ibarat kenderaan yang ingin menuju ke destinasi melaui jalan yang baru, begitu banyak dan rumit lorongnya tidak jelas tentang lauan mampu membuat kita sesat. Segalanya berpunca daripada tersasar daripada simpang. Sikit - sikit lama - lama jadi penyakit. Kesilapan awal yang tidak diperbetulkan.
Allah mencipta manusia sebagai makhluk percaya. Kita akan bertindak mengikut apa yang kita percaya. Kepercayaan ini pula letaknya di dalam jiwa. Percaya di dalam, amal dan kerja di luar. Kerja luar adalah terjemahan kerja dalam. Betulkan dalam, eloklah luar. Justeru, betulkan hati, tempat letaknya percaya diri.
 Manusia adalah makhluk inside-out. Tetapi manusia suka berniat dengan outside-in.
 Kerana isteri, isteri tetap sengsara. Kerana bonda, bonda terus derita. Sebab itu, hanya 1 sahaja yang sejahtera di angkat menjadi percaya.
 Bekerja kerana Allah. Bekerja niatnya biarlah kerana Allah, kerana Allah, kita tidak akan lupa menjaga kebajikan bonda, dan ingat keperluan isteri dan keluarga.

 HIKMAH BISMILLAH


Bekerja kerana Allah itu sentiasa menjadi tujuan yang mengawal diri di sepanjang perjalanan mendaki kerjaya. Tidak keliru antara tujuan dan keperluan. Malah menjadikan tujuan, sebagai motivasi untuk memperbaiki keperluan.


Justeru, kita diajar agar memulakan setiap satu perbuatan dengan membaca bismillah.
"Setiap perkara yang penting yang tidak dimulakan padanya dengan bismillah, maka perkara itu terputus." (Riwayat Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam sahihnya daripada Abu Hurairah)
 Terputus daripada tujuan asal yang baik. Terputus daripada Allah. Ibarat layang - layang yang terputus talinya.


Itulah hikmah memulakan setiap pekerjaan dengan bismillah. Agar setiap kerja, kita kerjakan dengan sedar apakah tujuannya. Bekerja kerana Allah!


Bekal titik mula kita bersama!

No comments: