Followers

Monday, April 19, 2010

Kejadian Aneh Dan Ganjil Adalah Bukti Keagungan Allah s.w.t

Banyak kejadian - kejadian, pelbagai peristiwa, dan perkara yang pelik dan ajaib yang sering diperkatakan oleh masyarakat, dan ada yang telah dipaparkan di mata kita melalui media massa sama ada tempatan atau luar negara. Akan tetapi kesemua kejadian dan peristiwa ini tidak memberi impak kepada diri sesetengah masyarakat diantara kita. Seolah - olah ianya tidak bermakna! Mereka menolak bahawa  peristiwa ini berkait dengan Khaliq ( Allah s.w.t ) yang menciptakan semuanya, sebaliknya mereka mengatakan ianya hanyalah sebagai tabiat alam atau suatu kebetulan sahaja, tidak kurang juga ada yang mengaitkan dengan kuasa mistik dan makhluk ghaib. 


Ini amatlah bertentangan sekali dengan firman Allah di dalam Al-Quran :
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 190 - 191, maksudnya :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang, terdapat tanda - tanda ( kebesaran Allah ) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang yang (sentiasa) mengingati Allah sambil ia berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan akan penciptaan langit dan bumi, lalu berkata : Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia - sia..."


Firman Allah lagi dalam Surah Rum(30):8, maksudnya : "Dan mengapa mereka tidak mahu memikirkan tentang (kejadian) diri mereka. Allah tidak menjadikan langit dan bumi, dan apa yang diantara kedua - duanya, melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan..."
 Lalu Allah menyindir mereka: Afala tafakkaruun, maksudnya: "Apakah kamu tidak mahu berfikir atau menggunakan akal fikiran?" -Surah Al-An'am(6):50-


Firman Allah, maksudnya : "Kemudian akan kami tunjukkan tanda - tanda kekuasaan kami pada alam dan dalam diri mereka, sampai jelas bagi mereka bahawa ini adalah kebenaran." - Surah Al-Fusilat(41):53-
 Dalam Al-Quran Allah juga menciptakan pelbagai perkara sebagai perumpamaan untuk kita fikirkan antaranya ialah :-

  • Pelita (An-Nur ayat 35)
  • Sungai (Muhammad ayat 15)
  • Pohon Bidara (Al-Waqiah ayat 28)
  • Angin ( Al-Imran ayat 117)
  • Api Bakaran / bara api (Al-Baqarah ayat 17)
  • Matahari dan Bulan (Yunus ayat 5)
  • Petir (Al-Baqarah ayat 20)
  • Lalat (Al-Hajj ayat 73)
  • Labah - labah (Al-Angkabut ayat 41)
  • Nyamuk (Al-Baqarah ayat 26) dan lain-lain.. banyak lagi .
Namun jarang ada yang mengambil ini sebagai renungan dan iktibar, kerana semua ini berbentuk simbolik dan sukar untuk difahami kecuali bagi mereka yang mempunyai akal yang tajam, akan tetapi Allah telah menunjukkan kekuasaan dan kebesarannya yang dapat dilihat oleh kita dengan segala peristiwa - peristiwa yang aneh dan ganjil untuk kita menilai dan mengingati Allah s.w.t.
Bagi mereka yang Allah kehendaki taufiq dan hidayah akan diberi, mereka akan mengambil iktibar daripada segala perkara ini dan mereka insaf dan sedar, maka mereka akan kembali kepada kebenaran dan menjadi hamba Allah s.w.t yang bertawadhuk, taat dan berserah diri kepada Allah s.w.t serta akan menyiapkan bekalan amalan untuk bertemu dengan Allah s.w.t di Akhirat kelak.
 Golongan inilah seperti yang disebut oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran Surah Al-Kahfi : 110. maksudnya : "Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya."
Berkaitan dengan peristiwa ini, Nabi s.a.w telah membayangkan bahawa ia akan berlaku dan sebagai petanda dunia ini telah sampai pada penghujung usia, bahawa kiamat sudah dekat.
 Melalui riwayat hadis oleh Imam Nu'aim bin Hammad dalam kitab "Al-Fattan", Rasulullah s.a.w bersabda : maksudnya, : "Tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu melihat perkara - perkara besar dan pelik yang kamu tidak pernah melihat dan perkatakannya sebelum ini."
Dalam hadis lain riwayat Al-Bazar bahawa Nabi s.a.w menambahkan dengan nasihat agar jika tiba masa lahirnya perkara - perkara pelik yang tidak pernah dilihat hendaklah : "...banyakkan ingatkan Allah kerana perkara pelik itu berlaku menandakan tanda - tanda awal bahawa kiamat telah dekat akan terjadi."
 Dalam hadis selanjutnya oleh Imam Ahmad dari Samurah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Tiada akan berlaku kiamat sehingga berlaku perkara - perkara pelik dan luar biasa yang melibatkan diri kamu, sehingga kamu bertanya sesama sendiri, apakah perkara seperti itu pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w dahulunya?"
Perkara pelik ini bukan seperti silap mata atau black magic. Menurut hadis diatas ialah "Perkara dan peristiwa yang tidak pernah kita alami atau yang tidak pernah kita dengar atau tidak pernah kita perkatakan" sebelium ini dan perkara dan peristiwa itu yang tidak boleh kita fikirkan atau yang tidak pernah kita terfikir pun ia berlaku.
 Jika kita dapati atau temuinya, Rasulullah s.a.w nasihatkan kita agar banyak mengingati Allah, kerana perkara pelik itu salah satu tanda bahawa kiamat telah dekat. Maksud mengingati Allah ialah banyakkan beramal untuk bekalan Hari Akhirat kelak.
wallahualam...

No comments: