Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang diberi penghidupan yang baik tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu, iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.
Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya ialah orang yang diberi petunjuk melalui ayat - ayat Al-Quran, Hadith dan cerita kebaikan namun berasa tidak ada apa kesan di dalam jiwanya untuk bertaubat.
Siapakah orang yang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya ialah orang yang tidak mahu melakukan ibadat tetapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyeksa dengan kelalaian itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.
Siapakah orang yang paling kuat?
Orang yang paling kuat ialah orang yang dapat menahan rasa marahnya ketika dia sedang dalam keadaan marah.
Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah ialah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tetapi tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.
Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut ialah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w.
Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta ialah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al-Quran.
Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli ialah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.
Siapakah orang yang mundur dalam hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya ialah orang yang tidak mempedulikan halal dan haramnya sesuatu perkara tersebut..
Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu ialah orang yang tidak sembahyang kerana hanya ada 2 syarat sahaja yang membolehkan seseorang itu meninggalkan sembahyang. Pertama, sekiranya haid dan keduanya ketika ia tidak siuman akalnya.
Siapakah orang yang selalu rugi?
Orang yang selalu rugi ialah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal - amal kebaikan.
Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu ditipu ialah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu hanya berlaku pada orang tua.
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik ialah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal kebaikan di mana kuburnya akan diperluaskan saujana mata memandang.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang itu adalah orang mati tidak membawa amal - amal kebaikan lalu kubur menghimpitnya.
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang yang menghuni syurga kelak kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.
Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk ialah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah - olah ia mempunyai kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Innalillahi wainna lillahi rajiun." Lalu sambil berkata "Ya Rabbi aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang menangis air mata mutiara?
Orang yang menangis air mata mutiara ialah orang - orang yang sedang bersendiri lalu mengingati akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa - dosanya lalu mengalir air matanya.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya ialah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak tamak akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin ialah orang yang tidak puas hati dengan nikmat yang ada dan sentiasa menumpuk - numpukkan hartanya.
Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai ialah orang yang bersiap - siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.
Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh ialah orang yang beriya - iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.
Siapakah orang yang ingin maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya ialah orang yang sentiasa mempertingkatkan agamanya.
wallahualam ~
No comments:
Post a Comment