Kita hajat.
Kita usaha.
Tapi kadang-kadang ada benda kita tak dapat capai.
Ada sebabnya.
Dan Allah mengetahui segala
Dalam dunia ni, bukan semua benda yang kita hajatkan kita akan capai.
Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa yang kita hajati.
Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi.
Tetap tidak berjaya kita mendapatkannya.
Hakikatnya itulah lumrah.
Persoalannya, bagaimanakah kita merasionalkan diri kita dalam menerimanya?
Kita tidak tahu
Pertama sekali, kita perlu melihat kembali betapa hakikatnya kita tidak mengetahui apakah pilihan yang baik atau pilihan yang buruk pada kita.
Tetapi Allah mengetahui.
“Telah diwajibkan kepada kamu berperang, padahal (perang)itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa” Surah Al-Baqarah 216.
Boleh jadi apa yang kita hajatkan, apa yang kita mahu, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi.
Perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH.
Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa ianya terjadi.
“Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa”
Belum bersedia
Ada kemungkinan juga, kita belum bersedia atas apa yang kita hajati itu. Kemungkinan apa yang kita hajati itu datangnya ia bersama tanggungjawab yang besar.
Contohnya, hajat hendak berkahwin, tetapi Allah tidak izinkan pada waktu yang kita hajati.
Ada kemungkinan Allah tidak izin itu kerana kita belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
Begitulah juga dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan. Biasanya, kejayaan akan datang bersama tanggungjawab.
Kemungkinan besar, Allah tidak mengizinkan kita mencapai kejayaan itu, kerana diri kita masih tidak mampu memikul tanggungjawab yang hadir bersamanya.
Dosa
Kadangkala, hajat kita tidak tercapai adalah kerana kita ada perkara yang belum selesai dengan Allah SWT.
Maka Allah tidak memenuhi hajat kita kerananya.
Sebab yang hendak memberikan segala perkara terjadi adalah Allah SWT. Dan Dia berkuasa untuk tidak membenarkannya.
Berusaha untuk positif dengan Allah
Allah Maha Mengetahui.
Dia tahu kita siapa.
Dia yang paling kenal kita.
Dia yang paling mencintai kita.
Justeru sekiranya ada perkara-perkara yang kita rasakan buruk menimpa kita, sepatutnya kita perlu kembali memuhasabah diri.
Mengapakah kita tidak dapat apa yang kita hajati?
Jangan sekadar memandang secara teknikal.
Ada kemungkinan lain selain hal teknikal yang menyebabkan hajat kita itu tidak tercapai, usaha kita itu tidak berhasil.
Dan sepatutnya, perkara ini kita patut pandang pada sudut kasih sayang Allah.
Ada kemungkinan Allah hendak menyelamatkan kita dari sesuatu yang kita tidak tahu, sebab itu Dia menghalang dari hajat kita tercapai.
Ada kemungkinan kita masih belum mampu, lantas Allah tahan dahulu kita dari mendapat apa yang kita hajati, agar kita tidak terkapai-kapai di kemudian hari.
Ada kemungkinan Allah hendak mendidik kita, agar lebih dekat denganNya, sebab itu kerana dosa kita Dia tidak membenarkan kita mendapat apa yang kita hajati.
Allah itu Maha Penyayang.
Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagian dari kasih sayangNya.
“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku…”(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Penutup: Memang dalam hidup, bukan semua benda kita nak, kita dapat
Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai.
Jangan kecewa apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan.
Pandang dari sudut yang positif.
Fikir jauh ke hadapan.
Jika kita manusia yang punya keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan berlapang dada, bersangka baik dengan aturan-aturanNya kepada kita.
Sekiranya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa itu akan tidak terbeban.
Hal ini kerana, kita sentiasa positif.
Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain, InsyaAllah.
Hilal Asyraf-www.langitilahi.com
No comments:
Post a Comment