Opss!! CCTV di Mana-Mana
www.iluvislam.com
Oleh: Eastzatea89
Editor: doraemong13
Teknologi semakin berkembang maju. Di bank, bangunan-bangunan besar semuanya menggunakan alat kawalan keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kecurian, atau sesuatu yang tidak diingini.
Tetapi sejauh mana alat berteknologi canggih ini seperti CCTV mampu mengawal serta mengenalpasti pencuri mahupun perogol atau sebagainya dengan jelas? Tidak semua bukan?
Sedarkah anda, sebelum penciptaan CCTV dan sebelum penciptaan manusia lagi sudah wujudnya 'CCTV' yang tidak pernah rosak dan berada di mana-mana sahaja.
Wahai muda-mudi sekalian,
Seronok bukan berbuat maksiat di hotel-hotel, di dalam hutan, di rumah kosong, di rumah sewa, di dalam panggung wayang. Ah! Tak siapa yang nampak, apa yang perlu ditakutkan. Ingatlah, mata, tangan, kaki, hatta alat sulitmu, malah meja, katil, rumah, pokok dan apa yang ada di sisimu ketika kau berbuat maksiat, semuanya adalah 'CCTV' yang akan menjelaskan segalanya di akhirat. Tidakkah engkau takut wahai remaja. JELAS dan NYATA. Tidakkah kau berasa malu di hadapan Allah nanti.
Telah Allah berikan nikmat mata, nikmat tangan, kaki, dan yang paling berharga nikmat hidup dalam Islam, tetapi kau tidak gunakan sebaik mungkin. Tak cukup dengan dosa berbuat maksiat, kau tambahkan pula dosa membuang bayi, lebih dahsyat kau sanggup pula membakar bayi yang tidak berdosa itu. Tak mengapa, mungkin sekarang kau terlepas dari dihukum di dunia. Tapi ingat!! Kehidupan kau tak akan tenang, dan kau akan lihat sendiri semua yang memandang kau membuang bayi itu, burung, masjid, tong sampah, lipas atau tikus akan menjadi 'CCTV' di akhirat.
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun maka dia akan melihat balasannya." (Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8)
Wahai ibubapa,
Sedih bukan melihat bayi dibuang dibakar dengan tragis sekali? Tetapi sebenarnya sedih lagi jika kita sebagai ibubapa tidak mampu menjadi ibubapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak agar menjadi anak soleh dan solehah. Sedih lagi jika kita membiarkan anak-anak kita berpakaian ketat, tidak bertudung, merempit, bergaul bebas, kerana inilah pencentus terjadinya zina dan akan menyebabkan lahirnya anak luar nikah dan seterusnya pembuangan bayi pun berleluasa. Ingatlah, sebagai ibubapa, kita wajib mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna dan bertakwa. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga dalam mendidik anak-anak. Jadilah contoh yang terbaik buat mereka sebagai garis panduan kepada mereka.
"Wahai anakku! Laksanakanlah SOLAT dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar, dan bersabarlah menghadapi apa yang menimpamu." (Surah Lukman)
Wahai para pengumpat,
Tidak takutkah engkau pada setiap apa yang engkau perkatakan? Allah benci pada dirimu kerana sifatmu yang suka membuka aib orang lain. Dari umpatan akan menjadi fitnah. Tak cukup dengan dosa umpatan ditambah pula dengan dosa fitnah.
"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela" .."Pasti akan dilemparkan ke neraka Hutamah" (Surah Al-Humazah)
Ingatlah wahai semua insan, selagi kita masih hidup berbuatlah amal kebajikan.Sesungguhnya, Allah menyukai insan yang mampu menutup keaiban orang lain. Berkatalah apabila perlu, kerana diam itu lebih baik dari berkata yang sia-sia. Hiasi bibirmu dengan zikrullah , sempurnakan solat 5 waktumu, tunaikan kewajipanmu sebagai hamba Allah.
Bertaubatlah sebelum kita terlambat. Sesungguhnya dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin yang sentiasa mengawal nafsu dan godaan syaitan.
"Hadiah berharga bagi orang mukmin adalah kematian."
(Riwayat Ibnu Abiddunya, Al-Tabrani dan Hakim)
Janganlah kita teperangkap dengan "CCTV" yang kita cipta sendiri di dunia. Kerana kita akan lihat segalanya semula di akhirat. Dan sesungguhnya akhirat adalah penjara bagi insan yang tidak mengikut suruhan-Nya dan melakukan apa yang dilarang-Nya.
"Sesiapa yang tidak senang menemui Allah, maka Allah pun tidak senang menemuinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)